Thursday, April 14, 2011

Ar-Rahnu


Apakah Arrahnu ?

Definisi dari sudut syarak:

Ar-Rahnu dari sudut syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.

Definisi dari sudut bahasa:

Ar-Rahnu dari sudut bahasa bermakna mantap dan berkekalan. Misalnya, keadaan yang mantap ataupun ia bermakna tahanan, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya............."

(Surah al-Muddaththir 74:38)
PENGERTIAN , HUKUM DAN RUKUN AR-RAHNU

PENGERTIAN

Ahmad Azhar Basyir - mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai "menjadikan suatu benda yang bernilai menurut pandangan syara" sebagai tanggungan hutang dengan adanya benda yang menjadi tanggungan itu seluruh atau sebahagian hutang dapat diterima"

H.M Arsjad Thalib Lubis - mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai "menjadi suatu barang yang berupa harta dan ada harganya jadi jaminan hutang dan ia akan dijadikan pembayarannya jika hutang itu tidak dapat dibayar"

Abdul Rahman Al-Jaziri - menerangkan bahawa Ar-Rahnu menurut syara’ bererti " menjadikan barang yang ada harganya menurut pandangan syara’ sebagai jaminan kepercayaan hutang piutang. Dalam erti seluruh hutang atau sebahagiannya dapat diambil, sebab sudah ada barang jaminan tersebut.

Kesimpulannya - Ar-Rahnu boleh ditakrifkan sebagai keadaan di mana penghutang atau penerima pinjaman menyandarkan barangan kepunyaan sebagai jaminan kepada hutang atau pinjaman yang diterima daripada pemiutang atau pemberi pinjaman

HUKUM

Firman Allah SWT - "Dan jika kamu sedang dalam perjalanan (lalu kamu berhutang) dan tiada memperolehi penulis, maka boleh diserahkan sahaja jaminan yang dapat dipegang

(Al-Baqarah : ayat 283)

Dalam sebuah Hadis - "Bahawasanya Nabi saw menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya."

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah Hadis - "Dari Aisyah r.a yang bermaksud Nabi s.a.w pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang dihutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w menyerahkan baju besinya"

(Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah Hadis - "Dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang bermaksud ketika Nabi s.a.w. wafat, baju besinya masih dalam keadaan menjadi tanggungan hutang 20 sha’ (+ 50 kg) bahan makanan yang dibelinya untuk nafkah keluarganya"

(Riwayat Tirmidzi)

RUKUN

Hukum Ar-Rahnu mengandungi 5 perkara:

  • Penggadai atau orang yang menggadai; iaitu orang yang berhutang
  • Penerima gadaian atau pemegang gadai; iaitu pihak yang memberi pinjaman
  • barang gadaian; iaitu barang yang berharga yang dipunyai dan dalam kawalan penerima pinjaman
  • Tanggungan gadaian; iaitu jumlah yang berhutang
  • Sighah atau perjanjian; iaitu perjanjian berkaitan pinjaman/ hutang dan gadaian

Saturday, April 9, 2011

Upah simpan Bank Rakyat

Upah simpan Bank Rakyat

RM1000 kebawah - RM0.65/RM100 nilai marhun

RM1001 - RM10,000 - RM0.75/RM100 nilai marhun

Maka 4.5% untuk 6 bulan / 9% untuk 1 tahun

Keuntungan - jika kenaikan harga emas lebih 4.5% (6 bulan) / 9% (1 tahun)

Kerugian - jika kenaikan harga emas kurang dari 4.5% / 9% dan ini belum termasuk peratus spread

Ar Rahnu -- Alternatif Dan Sumber Mudah Dapatkan Kredit


Ar Rahnu -- Alternatif Dan Sumber Mudah Dapatkan Kredit

Oleh Salbiah Said

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Sebut sahaja pajak gadai, kita akan bayangkan mereka yang serba kekurangan yang menggunakan perkhidmatan ini untuk mendapatkan wang.

Tetapi Bank Rakyat bercadang untuk menghapuskan stigma yang dikaitkan dengan industri dengan mempromosikan konsep pajak gadai Islam yang dikenali sebagai Ar-Rahnu menerusi anak syarikat milik penuhnya Rakyat Management Services Sdn Bhd.

Ar-Rahnu diperkenalkan sebagai alternatif dan sumber mudah mendapatkan kredit, dengan emas sebagai cagaran atau sandaran sebagai pertukaran dengan tunai. Ia menjaminkan pengguna bebas daripada perhatian awam berbanding kedai pajak gadai biasa yang melakukan perniagaan secara terbuka.

"Sistem ini (Ar-Rahnu) menyediakan ketelusan, sulit/rahsia dan keselamatan," kata Mohamad Sabri Nor, pengurus besar Rakyat Management Services, kepada Bernama baru-baru ini.

"Ia juga boleh menghalang para peminjam daripada Along (peminjam wang) atau pembroker pajak gadai yang tidak berlesen," kata beliau selepas memberi ceramah mengenai skim Ar-Rahnu yang diuruskan oleh Rakyat Management Services di Pusat Kecemerlangan Bernama di sini.

Ar-Rahnu ialah perniagaan pajak gadai berasaskan Islam yang menawarkan pinjaman tanpa faedah tetapi yuran minimum dikenakan bagi penyimpanan barangan berharga dengan nilai gadai janji yang tinggi dan tempoh gadaian yang fleksibel.

Contohnya, di bawah sistem pembrokeran gadai janji konvensional, seseorang individu yang memajak cincin emas bernilai RM1,000 hanya akan diberikan pinjaman RM600, yang menyaksikan faedah dua peratus atau RM13 sebulan.

"Kami hanya mengenakan 65 sen untuk setiap barang berharga bernilai RM100 yang disimpan. Untuk barangan kemas bernilai RM1,000, kami cuma kenakan bayaran RM6 sebulan untuk penyimpanan, satu jurang perbezaan yang besar berbanding sistem konvensional," kata Mohamad Sabri.

"Antara kelebihannya,, barangan yang disimpan dilindungi dan diinsuranskan. Jika berlaku kehilangan atau insiden yang tidak diingini, pembayaran ganti akan dilakukan berdasarkan kepada nilai barangan yang hilang."

"Pada peringkat permulaan, agak sukar untuk menyakinkan pengguna kami. Bagaimanapun, kini, mereka menyedari yang banyak kelebihan boleh diperolehi daripada Ar-Rahnu," kata beliau sambil menambah segala ujian untuk menentukan nilai barang kemas akan dilakukan di hadapan para pelanggan.

"Perniagaan ini hanya terbuka kepada koperasi dan bukan untuk individu dan bagi mereka yang bercadang menubuhkan perniagaan tidak perlu khuatir jika mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai emas, kami akan membantu mereka," kata Mohamad Sabri.

Skim Ar-Rahnu Bank Rakyat bermula pada tahun 1993 menerusi suntikan modal dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM). Yayasan ini yang merupakan perintis Ar-Rahnu, mendapat dana daripada pelbagai majlis agama negeri yang kemudian menyalurkannya ke Bank Rakyat.

Pada awal perniagaan, Bank Rakyat hanya mempunyai enam cawangan Ar-Rahnu di bawah pengawasan Bank Negara sebagai penasihat.

Setakat ini, Rakyat Management Services mengendalikan 15 cawangan Ar-Rahnu di bawah jenama Ar-Rahnu X'Change dengan tagline "Gold For Cash". Daripada jumlah itu, tujuh dimiliki oleh Bank Rakyat sementara lapan lagi berasaskan francais.

"Nasihat saya kepada ahli perniagaan ialah anda boleh menggunakan barang bernilai anda sebagai modal. Ini adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk membiayai projek anda," kata Mohamad Sabri.

"Mereka yang pergi ke pajak gadai masih lagi dijauhi oleh masyarakat. Perkataan "gadai" amat tidak dibenarkan dan merupakan pantang larang bagi mereka. Tetapi, ini secara perlahannya telah berubah memandangkan ramai yang menyedari akan kelebihan Ar-Rahnu."

"Apa yang penting ialah para pelanggan ini mempunyai aset dan mereka menggunakannya pada masa yang amat diperlukan. Mereka tidak perlu malu kerana mereka bukannya mengambil pinjaman tetapi mempunyai barang bernilai untuk disandarkan bagi mendapatkan tunai. Inilah mesej yang ingin disampaikan kepada orang ramai," kata beliau.

Rakyat Management Services, yang mempunyai kira-kira 300,000 pelanggan, juga bercadang membuka lima cawangan Ar-Rahnu setiap tahun bagi menampung permintaan, kata Mohamed Sabri.

-- BERNAMA

Wednesday, April 6, 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Rapidgator.net